02 November, 2009

Misteri Forex Terbongkar: Satu Pendedahan

Sudah menjadi lumrah bagi setiap insan yang bergelar manusia cenderung untuk mencari kekayaan. Lantaran itu, semakin ramai individu dan organisasi mendakwa bahawa salah satu daripada jalan pintas untuk menjana kekayaan pada masa ini ialah melalui pelaburan ‘forex’. Kita mungkin pernah terserempak dengan iklan-iklan internet yang berbunyi seperti ini: “Teknik Forex Terkini: Rahsia Jutawan Forex Malaysia, Profit RM2000 Mudah 5 Minit Sahaja!! Berikan Saya Laptop & Internet Dan Letakkan Saya Di Mana Saja yang Anda Suka, 24 Jam Kemudian, Saya Boleh Buktikan Menghasilkan RM10 000 Sehari!!”. Jika anda membuat keputusan untuk membeli ebook-ebook yang bernilai RM 97.00 ini, maka mungkin anda telah menjadi salah satu daripada mangsa kerakusan pemasar internet yang tumbuh bagaikan cendewan baru-baru ini. Tidak ada sistem atau strategi forex yang mampu menjadikan anda jutawan dalam sekelip mata.

Apakah sebenarnya forex? Forex atau foreign exchange market merupakan salah satu instrument kewangan terbesar dunia yang melibatkan akitiviti pertukaran mata wang asing. Nilai dagangan forex ini dianggarkan melebihi 3 trilion dolar sehari menyebabkan antara pasaran kewangan yang mempunyai volatiliti dan kecairan paling tinggi. Peserta-pesertanya terdiri dari bank-bank pusat dan komersil, koperasi, institusi pelaburan, amanah saham dan pelabur persendirian. Disebabkan perkembangan pesat teknologi internet pada masa kini, forex adalah antara jenis perniagaan yang paling mudah disertai dengan modal permulaan sebanyak US $1.00 sahaja!

Terdapat fakta menggerunkan yang menyatakan bahawa kira-kira 95% pedagang forex di dunia ini menemui kegagalan atau kerugian manakala yang benar-benar berjaya hanyalah sebanyak 5% sahaja. Sungguhpun kebenaran maklumat ini masih lagi boleh dipertikaikan, namun apa yang pasti forex merupakan salah satu perniagaan yang sangat berisiko tinggi. Majoriti pedagang forex akan mengalami kerugian satu hingga dua belas bulan selepas membuka akaun. Walau bagaimanapun, sehingga kini masih ramai lagi yang belum serik dan terus menceburkan diri dalam bidang ini walhal sudah kerugian beribu-ribu ringgit. Hal ini kerana mereka beranggapan bahawa forex masih mampu menjanjikan pulangan yang lumayan, kalau bukan sekarang, sedikit masa lagi.

Antara sebab kenapa ramai yang gagal dalam bidang ini ialah, pertama, tidak mempunyai pelan dagangan (trading plan) yang strategik. Kedua, overtrade atau melakukan dagangan harian melebihi kemampuan diri. Ketiga, menggunakan risiko yang terlalu besar dalam satu-satu trading iaitu melebihi daripada 3% daripada jumlah kapital. Keempat, pedagang terlalu bergantung kepada kecanggihan teknologi dan indicator-indikator pasaran untuk membuat keputusan dagangangan. Kelima, gagal memperuntukkan masa yang secukupnya untuk belajar teknik dagangan yang betul. Dan keenam, terlalu obsesif iaitu mengambil masa terlalu terlama di depan skrin untuk berdagang sehingga terlupa untuk mengambil masa rehat.

Artikel ini ditulis bukan bertujuan untuk melemahkan motivasi kepada sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini, tetapi sebagai satu peringatan untuk semua pihak. Buat masa ini, kaum KDM sendiri telah melahirkan beberapa pedagang forex yang tersohor di negeri Sabah seperti Donny Wilfred Mandating a.k.a. Fxhunters yang berasal dari Daerah Penampang. Sumbangan utama beliau ialah melalui analisis pasaran semasa dan pendidikan forex yang boleh dicapai melalui blog beliau sabahforexguide.blogspot.com. Pencapaian Saudara Wilfred ini telah membuktikan bahawa bumiputera KDM juga boleh berjaya dalam bidang forex sungguhpun bidang ini diselubungi masalah kredabiliti, iaitu dibanjiri oleh pemasar-pemasar internet yang hanya mahu mengaut keuntungan daripada penjualan ebook mereka, padahal tidak menjalankan dagangan forex yang sebenar.

Kejayaan dalam apa jua bidang perniagaan memerlukan kita membuat keputusan secara logik berdasarkan maklumat yang ada. Sehubungan itu, tidak kira betapa canggihnya teknologi dan maklumat yang anda ada, mungkin anda masih tidak mampu untuk berjaya dalam bidang ini sekiranya gagal menguasai teknik asas berdagang seperti menentukan arah pergerakan pasaran, sokongan dan rintangan, candlesticks serta banyak lagi. Dalam erti kata yang lain, kita haruslah mempunyai ilmu dan pengalaman yang secukupnya sebelum terjun ke dalam dunia pelaburan forex. Adakah forex sesuai untuk anda? Cuba try lah dulu sendiri…

(Dipetik daripada Buku Konvensyen Komulakan UPKO 2009)

No comments:

Post a Comment